11 June 2014

Tourism Kelantan jangka 100 peserta sertai 'By-Cycle Hunt Amazingly Fun Race'

KOTA BHARU: Tourism Malaysia Kelantan menjangkakan 100 peserta menyertai program 'By-cycle Hunt Amazingly Fun Race' di sini Sabtu ini.

Timbalan Pengarahnya, Kamal Azam Kamaruddin berkata setakat ini 88 peserta daripada 22 pasukan tempatan dan luar negara telah mengesahkan penyertaan.

"Kita jangka pada hari pertandingan nanti akan capai sasaran 100 peserta," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat program 'By-cycle Hunt Amazingly Fun Race' di sini, Selasa.

Beliau berkata pertandingan yang berkonsepkan 'treasure hunt' secara berbasikal itu adalah yang pertama kali dianjurkan oleh pihaknya di samping para peserta boleh menerokai keindahan negeri ini dengan jarak kayuhan sejauh 70 kilometer.

"Sepanjang kayuhan, kita akan menerokai tempat-tempat menarik di negeri ini seperti Pantai Senok, Pantai Kemayan, Pulau Melaka dan lain-lain di samping kita dapat melihat budaya masyarakat di tempat itu sendiri," katanya.

Peserta berpeluang mendapat hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM2,100 selain hamper kepada setiap kumpulan, baju kepada peserta dan mereka juga berpeluang untuk membawa pulang hadiah cabutan bertuah.

Orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut dan borang penyertaan dengan menghubungi Suzilan Mohd Salleh di talian 019-9424033 sebelum tarikh tutup penyertaan pada Jumaat ini.

Sumber: Bernama | 10 Jun 2014

No comments:

Post a Comment