22 February 2014

Atrium Pasar Besar Siti Khadijah berwajah baharu

Atrium Pasar Besar Siti Khadijah dicat dengan pelbagai warna dilihat menarik dan mencantikkan suasana persekitaran.
KOTA BHARU: Pasar Siti Khadijah yang sebelum ini menjadi tumpuan pelancongan kini berubah wajah apabila pihak pengurusan mengambil tindakan mengecat bahagian tengah pasar yang menjadi mercu tanda utama pelancongan Kelantan itu.

Pasar yang dimonopoli oleh kira-kira 80 peratus peniaga wanita itu juga kini semakin besar dengan penambahan bangunan di bahagian penjualan kuih serta memudahkan pengunjung untuk membuat pembelian memandangkan ia terletak bersebelahan dengan jalan utama pasar tersebut.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati kawasan persekitaran luaran pasar yang penuh sesak dengan kenderaan membuktikan ramai pengunjung memilih pasar tersebut sebagai salah satu tempat untuk mendapatkan keperluan harian selain menjadi tumpuan pembelian buah tangan kepada pelancong.

Seorang peniaga di situ, Raja Siti Aminah Raja Ismail, 40 tahun, berkongsi pengalaman berniaga keropok lekor yang diwarisi ibu mertuanya yang juga salah seorang peniaga senior di pasar tersebut.

“Dulu kita hanya lihat satu warna sahaja digunakan untuk cat dinding-dinding pasar, namun kini dengan pemilihan warna yang lebih ceria dan pelbagai, ia menaikkan semangat saya dan rakan-rakan peniaga yang lain,” katanya.

Perkara yang sama juga diakui pengunjung, Hasmawati Ahmad, 32 yang melihat pembaharuan pasar tersebut akan memangkinkan lagi pembangunan ekonomi kecil dan sederhana masyarakat Kelantan.

Malah, beliau turut berkongsi rakyat Kelantan sangat bertuah kerana mempunyai pelbagai tempat-tempat menarik untuk dijadikan hab pelancongan, sekali gus menjadikan Kelantan di antara negeri yang akan dikunjungi rakyat Malaysia pada musim cuti perayaan mahupun cuti persekolahan.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnalzli Amin berkata, kini MPKB-BRI kini sedang berusaha untuk meningkatkan keceriaan pasar-pasar di bawah kendaliannya yang mana Pasar Besar Siti Khadijah adalah lokasi pertama untuk fasa pertama tahun ini.

“Tahun ini saja dua sesi gotong royong & Ops Pembersihan dan Pematuhan dilaksanakan. "Insya-Allah ia akan diadakan pada tempoh dua minggu sekali selain mengecat atrium (ruang tengah Pasar Siti Khadijah)," kata Rosnalzli.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 22 Februari 2014

No comments:

Post a Comment