22 February 2014

Kertuk terus subur dalam arus pemodenan

Che Omar Che Mud mengetam kayu untuk dijadikan belira bagi alat muzik kertuk ketika ditemui di Kampung Padang Lalang, Tanah Merah, Kelantan.
TANAH MERAH: Kelantan sememangnya terkenal dengan pelbagai seni budaya yang masih utuh dan diamalkan oleh masyarakatnya sehingga sekarang meskipun berada pada zaman serba moden yang penuh dengan pelbagai kecanggihan teknologi.

Lantaran itu, tidak hairanlah jika negeri ini dijulang sebagai salah satu kota budaya yang masih kaya dengan pelbagai seni warisan sehingga ia masih lagi dapat dinikmati dan warisi oleh generasi muda pada hari ini.

Bukan itu sahaja, negeri yang terkenal dengan jolokan 'Tanah Serendah, Sekebun Bunga' ini turut mempunyai alat muzik tradisonal yang cukup terkenal dan dimainkan sehingga hari ini.

Antara alat muzik tradisional yang masih menjadi pilihan dalam majlis keraian ialah serunai, rebana ubi, gendang serta kertuk. Kertuk salah satu alat muzik yang cukup popular satu ketika dahulu dan bertindak sebagai medium bagi menyampaikan sesuatu perkhabaran mahupun berita kepada penduduk di sesebuah kampung.

Kertuk dikategorikan sebagai peralatan muzik idiofon iaitu sejenis alat yang diketuk untuk menghasilkan bunyi dan terdiri daripada empat komponen utama iaitu belira, badan kertuk (diperbuat daripada buah kelapa), pemalu dan lekar (pelapik).

Menyedari kepentingan mempertahankan alat muzik tersebut daripada lenyap ditelan arus kemodenan pada zaman yang serba canggih dengan pelbagai kemudahan teknologi, seorang warga emas, Che Omar Che Mud, 76, dari Kampung Padang Siam dekat sini mengambil inisiatif dengan menghidupkan kesenian berkenaan.

Walaupun usianya sudah melangkaui setengah abad, Che Omar tetap menggagahkan kudratnya dengan menghasilkan kertuk untuk tatapan generasi muda bagi bagi memastikan seni budaya itu terus subur.

"Disebabkan bimbang kemahiran membuat kertuk ini terus lenyap, saya mengambil keputusan memperturunkan ilmu ini kepada generasi muda agar seni warisan ini kekal.

"Kertuk adalah salah satu alat muzik dan seni warisan rakyat Kelantan yang perlu dipertahankan untuk tatapan generasi masa hadapan kerana manfaatnya cukup besar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kumpulan Putra Palas (kiri) dan Litar Lalang beradu kemahiran bermain kertuk dalam majlis pelancaran Kumpulan Kertuk Nyior Arjuna Sukma di Kampung Padang Lalang, Tanah Merah, Kelantan, baru-baru ini.

Tambahnya, kertuk juga menjadi platform merapatkan hubungan persaudaraan antara golongan muda dan tua di sesebuah kampung sekali gus mewujudkan suasana harmoni.

Kertuk dihasilkan menggunakan sebatang buluh dan ditebuk pada bahagian tengah untuk mengeluarkan bunyi atau isyarat apabila diketuk menggunakan batang kayu.

Menariknya alat muzik ini turut mengalami transformasi apabila dihasilkan dengan menggunakan sebiji kelapa yang ditebuk pada bahagian tengah dan keluarkan isi sebelum diletakkan dengan sekeping kayu dipanggil belira.

Menurut Che Omar, belira sepanjang dua kaki itu diperbuat daripada kayu lazimnya dari pokok nangka dan ia akan mengeluarkan bunyi apabila diketuk atau dipukul menggunakan sebatang kayu.

Katanya, kekuatan bunyi belira tersebut bergantung kepada ketebalan kayu nangka, chengal, merbau yang digunakan untuk menghasilkan bunyi alat muzik itu.

"Jika belira itu tebal maka bunyi dikeluarkan oleh kertuk berkenaan lebih nyaring begitulah sebaliknya. Dari situlah penilaian dibuat untuk mengetahui kelunakan bunyi kertuk berkenaan," ujarnya.

Che Omar berkata, selain belira kelunakan bunyi kertuk juga bergantung kepada saiz lubang dan buah kelapa yang diguna pakai dalam menghasilkan alat muzik berkenaan.

Menurutnya, permainan ini kebiasaannya dimainkan secara berpasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dan setiap daripada mereka mempunyai enam ahli.

"Kedua-dua kumpulan ini masing-masing akan beradu kekuatan melalui bunyi pukulan serta alunan muzik yang dihasilkan mengikut kreativiti mereka," katanya.

Che Omar memberitahu, hasratnya menghidupkan semula permainan ini agar ia tidak luput ditelan zaman selain mahu generasi muda mengenali alat muzik tradisi rakyat Kelantan yang dimain sejak dahulu lagi.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 20 Februari 2014

No comments:

Post a Comment