03 June 2014

Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2014 meriah, tarik lebih 300 penyertaan

Sebahagian pengunjung dan peserta yang hadir pada Pesta Wau Antarabangsa Kelantan di Pantai Geting, Tumpat, baru-baru ini. 
TUMPAT: Kejayaan penganjuran Pesta Wau Antarabangsa Kelantan kali-32 yang berjaya menarik lebih 300 penyertaan dari dalam dan luar negara menunjukkan permainan tradisional ini masih diminati segenap lapisan masyarakat.

Pengerusi Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman berkata, perkembangan itu sekali gus menunjukkan usaha untuk memperkenal dan mempertahan seni budaya tempatan membuahkan hasil apabila lebih ramai generasi muda turut serta dalam pesta tersebut.

"Dalam penganjuran kali ini, kita dapat melihat peserta dari dalam dan luar melakukan pelbagai inovasi dalam teknik pembuatan wau atau layang-layang.

"Biarpun begitu, kita berharap dapat mengetengahkan dan memperkenalkan wau tradisional Kelantan jenis bulan dan puyuh dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Penutup Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2014 di Pantai Geting, di sini semalam. Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Sebanyak 18 buah negara luar yang turut serta dalam pesta terbabit ialah Australia, Brunei, Belgium, China, Indonesia, Itali, India, Jerman, Kemboja, Korea, Macau, Nepal, New Zealand, Filipina, Sweden, Amerika Syarikat, Thailand dan United Kingdom (UK).

Pesta yang berlangsung selama empat hari itu mempertandingkan 22 kategori termasuk acara menaikkan dan membuat beberapa jenis wau seperti wau bulan dan wau puyuh peringkat kebangsaan serta pertandingan layang-layang cabaran 'rokakku' dan 'train' antarabangsa.

Md. Anizam memberitahu, dianggarkan lebih 100,000 orang pengunjung telah hadir sepanjang festival tersebut berlangsung selama empat hari sejak Rabu lalu.

Dalam pada itu, Md. Anizam mengesyorkan setiap daerah di negeri ini menganjurkan festival wau di tempat masing-masing untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam permainan tradisional itu.

"Bagi memastikan golongan muda di negeri ini dapat mewarisi permainan wau, lebih banyak festival seperti ini perlu dianjurkan di setiap daerah di negeri ini.

"Dengan itu, bakat-bakat baharu akan dapat dicungkil selain memberi lebih banyak peluang serta pendedahan kepada orang ramai tentang permainan tradisional ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelayang Kelantan, Nik Arif Nik Hassan berkata, saingan yang diterima pada festival kali ini amat sengit namun beliau bersyukur dan gembira atas kejayaan berkenaan.

"Kemenangan tahun ini amat manis kerana sekali lagi dapat mempertahankan kejuaraan keseluruhan buat kali keempat berturut-turut sejak 2011," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 1 Jun 2014 | Terbitan 2 Jun 2014

No comments:

Post a Comment