05 September 2016

Rumah terbalik tarikan terbaharu di Bandar Baharu Tunjong, Kota Bharu


Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin melihat rumah terbalik yang baru dibuka di Bandar Baharu Tunjong.
KOTA BHARU: Rumah terbalik atau Upside Down Art Gallery yang pertama di negeri ini, berupaya menarik kehadiran pelancong untuk berkunjung ke Kelantan. 

Pemiliknya, Nor Hamidi Mohd Nadzir, 27, berkata idea menghasilkan rumah berkenaan muncul selepas berkunjung ke beberapa rumah terbalik di Melaka, Port Dickson dan Pulau Pinang bersama keluarga. 

Katanya, mereka sekeluarga berbincang untuk membuat rumah terbalik di negeri ini tetapi awalnya tidak kesampaian kerana kontraktor menarik diri. 

Selepas itu, Nor Hamidi dan abangnya, Ahmad Fakri, 30, yang bekerja sebagai tukang perabot, membina sendiri rumah berkenaan tanpa bantuan sesiapa. 

"Usaha kami membabitkan kos hampir RM80,000 dan semuanya disiapkan dalam tempoh dua bulan," katanya selepas merasmikan Upside Down Art Gallery di Bandar Baru Tunjong di sini, hari ini. 

Katanya, kebanyakan barang yang digunakan dibeli dari Singapura. Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin, berkata destinasi di negeri itu memerlukan nafas baharu bagi merancakkan sektor pelancongan, sekali gus mampu mengukuhkan ekonomi. 

"Sebelum ini kita mempunyai beberapa tarikan antaranya Pasar Siti Khadijah dan Pantai Cahaya Bulan yang sudah lama. "Upside Down Art Gallery mampu menarik minat pelancong untuk berkunjung," katanya. 

Sumber: Berita Harian | Timur | 3 Sept. 2016