Sebahagian daripada pengamal media, Persatuan Seni Foto Kelantan dan Rakan FB Kelantan menaiki bot mengharungi sungai Kelantan menuju ke Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan, baru-baru ini. |
KUALA KRAI: Mambong yang terletak di seberang Sungai Galas merupakan sebuah perkampungan kecil yang menjalankan perusahaan tembikar sejak berdekad lalu.
Untuk menuju ke kampung yang dinamakan sempena penemuan sebiji nangka yang tidak mempunyai isi itu, mengambil masa selama 45 minit dari Tangga Bradley yang kini dikenali sebagai Tangga Krai dengan menaiki bot.
Bagi mempromosi tembikar Mambong, Pusat Penerangan Pelancongan negeri membawa kira-kira 50 orang termasuk pengamal media, Persatuan Seni Foto Kelantan dan Rakan FB Kelantan untuk melihat proses penghasilan seramik yang terkenal di negeri ini.
Terdahulu, para peserta dibawa menaiki bot bagi menyusuri Sungai Galas menuju perkampungan tersebut sambil menikmati pemandangan semula jadi yang menyejukkan mata.
Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan negeri, Nik Mohd. Hasanuddin Nik Hussain berkata, tembikar Mambong antara permata dalam perusahaan seramik yang perlu diberi perhatian kerana mampu mampu menjadi daya tarikan pelancong di daerah ini.
"Perusahaan seramik antara produk pelancongan Kelantan yang perlu diketengah bagi menarik lebih ramai pelancong terutama peminat seramik untuk berkunjung ke sini.
"Tembikar Mambong mempunyai keunikan dan kelainan terutama dari segi bahan asas pembuatan tembikar selain cara pembuatannya secara tradisional," katanya kepada pemberita yang mengikuti Kembara Media dan Kumpulan Fotografi ke Kelantan Selatan 2014, di sini baru-baru ini.
Kehadiran para peserta rombongan disambut Ketua Whip Majlis Daerah Kuala Krai, Zulkifli Yaakob dan Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Dabong, Ku Mohd. Zaki Ku Hussin ketika tiba di Tangga Krai.
Tambah Nik Mohd. Hasanuddin, selain melihat proses penghasilan seramik kunjungan ke Mambong pasti berbaloi kerana para pengunjung berpeluang menikmati keindahan semula jadi di sekitar Sungai Galas.
Selain pembuatan seramik, beliau memberitahu, di Kelantan Selatan seperti Kuala Krai, Dabong, Gua Musang dan Tanah Tinggi Lojing mempunyai pelbagai produk pelancongan berasaskan keindahan flora dan fauna yang boleh diketengahkan.
"Misalnya, para pelancong boleh menerokai gua batu kapur semula jadi di Dabong selain melihat keindahan bunga Rafflesia berhampiran kampung Orang Asli di Gua Musang," ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Jun 2014 | Terbitan 3 Jun 2014
No comments:
Post a Comment