KUALA KRAI: Industri pembuatan tembikar di Mambong bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan peminat seramik kerana kraf tradisional ini mempunyai nilai estetika tersendiri.
Penghasilan secara tradisional menyerlahkan keunikan seramik Mambong kerana rekaan corak pada permukaan tembikar adalah berbeza antara satu sama lain dan bergantung kepada emosi pembuatnya semasa mengukir biarpun banyak mengetengahkan motif alam semula jadi.
Selain menjadi cenderamata mahupun perhiasan, barangan yang dihasilkan daripada tanah liat seperti belanga, periuk kukusan, buyung dan geluk (bekas air) juga masih boleh digunakan dalam kehidupan seharian.
Pembuatan tembikar tradisi di Kampung Mambong dikatakan telah diasaskan oleh Maimunah Puteh atau lebih dikenali sebagai Tok Bara sejak kira-kira 300 tahun lalu dan diperturunkan dari generasi ke generasi.
Pengusaha pembuatan tembikar, Siti Azah Yaacob, 42, berkata, sebagai orang luar dia mempelajari cara pembuatan kraf daripada tanah liat itu daripada suaminya, Ramli Mat Isa yang mewarisi kemahiran dimiliki Tok Bara.
Katanya, tanah liat yang diperoleh di sekitar Kampung Bahagia menjadi resipi utama dalam menghasilkan tembikar yang berkualiti dan mempunyai kelainan selain diperbuat secara tradisional dengan menggunakan tangan.
"Tembikar yang dihasilkan di sini mempunyai kelainan kerana kita menggunakan tanah liat yang diperoleh di sekitar Mambong juga. Sebelum ini, saya dan suami pernah cuba menggunakan tanah liat dari tempat lain tetapi tidak menjadi.
"Bukan sahaja bahagian permukaan nampak tidak kemas tetapi tembikar yang dihasilkan juga mudah retak dan pecah semasa proses pembakaran. Sebab itu, kita akan membeli tanah liat sekitar Kampung Bahagia dijual pada harga RM5 seguni," katanya yang mengusahakan pembuatan tembikar itu secara kecil-kecilan bersama suaminya untuk pasaran tempatan ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Disebabkan tembikar yang dihasilkan tidak menggunakan mesin, kata Azah, hasil pengeluaran kraf seramik itu adalah terhad kerana proses pembuatan mengambil tempoh sekurang-kurangnya seminggu.
Biarpun mempunyai mesin, jelas ibu kepada lapan orang anak itu, dia dan suaminya memilih untuk mengekalkan cara pembuatan tradisional ketika menguli dan membentuk tanah liat bagi menghasilkan tembikar.
Tambahnya, hasil kerja tangan itu dijual pada harga RM2 sehingga RM50 setiap satu, bergantung kepada bentuk dan saiznya.
Sementara itu, seorang lagi pembuat tembikar, Halimah Said, 58, berkata, kraf seramik di kampung itu dikenali ramai kerana hasilnya yang lebih berkilau disebabkan keistimewaan kandungan galian tanah liat di kawasan tersebut.
Ketika diminta menceritakan tentang proses pembuatan tembikar secara tradisional yang dilakukan di Mambong dia memberitahu, tanah yang diperoleh dari Kampung Bahagia itu akan ditumbuk dengan menggunakan lesung kayu terlebih dahulu sebelum dibiarkan semalaman.
"Proses menumbuk mengambil masa sekurang-kurangnya lima jam. Esoknya, taburkan pasir halus atas permukaan tanah dan tumbuk sekali lagi sehingga betul-betul halus. Kemudian, baharu tanah liat tersebut diuli dan dibentuk dengan menggunakan tangan.
"Setelah separuh kering, tembikar itu kemudian akan diukir dengan motif semula jadi dan dibiarkan sehingga kering sebelum dibakar dalam ketuhar batu yang menggunakan kayu api," katanya.
Menurut Halimah, proses membakar penting kerana jika tidak pandai mengawal api, tembikar yang dihasilkan berkemungkinan akan pecah.
"Sekurang-kurangnya enam jam diperlukan untuk membakar tembikar. Bagi dua jam pertama, api yang digunakan perlu perlahan supaya tembikar tidak rosak atau pecah," katanya lagi yang telah membuat tembikar sejak berusia 14 tahun.
Halimah yang mengusahakan pembuatan tembikar secara sambilan itu berkata, dia mampu menyiapkan lima biji tembikar dalam masa sehari dan dikumpul terlebih dahulu sebelum dibakar dalam jumlah yang besar.
Dalam perkembangan lain, ibu kepada lima anak itu memberitahu, tradisi pembuatan tembikar di Mambong tidak mustahil akan lenyap kerana generasi muda semakin kurang berminat untuk menghasilkan kraf seramik tersebut.
Menurut Halimah, biarpun ramai generasi seusia dengannya mahir membuat tembikar, namun hanya lima orang sahaja di sekitar kawasan itu yang masih aktif meneruskan perusahaan kraf tersebut.
"Dahulu, memang ramai yang mahir membuat tembikar tetapi kini sudah tak ramai. Generasi muda pula kurang berminat dan tidak mahir membentuk tanah liat dengan cara tradisional. Kalau dibiarkan, tidak mustahil tembikar tradisi Mambong akan lenyap begitu sahaja," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Jun 2014 | Terbitan 3 Jun 2014
No comments:
Post a Comment