13 June 2014

Kelantan sasar tarik setengah juta pelancong sepanjang Ramadhan dan Aidilfitri tahun ini

PASIR PUTEH: Kempen Citra Rasa Ramadan Tahun Melawat Malaysia menyasarkan 500,000 pelancong domestik dan luar negara mengunjungi Kelantan sepanjang Ramadhan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan sedang giat mempromosi kempen itu, kata Pengarahnya Mohd Aidil Afizie Daud.

"Keistimewaan 200 jenis makanan dan kuih tradisional Kelantan akan menjadi daya tarikan utama juadah berbuka puasa selain lokasi menarik dan pusat peranginan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkankan Kempen Citra Rasa Ramadan Negeri Kelantan di sebuah resort di Tok Bali di sini, malam tadi.

Beliau berkata hidangan makanan seperti nasi kerabu, nasi dagang, nasi tumpang, nasi belauk, nasi himpit sambal, pulut ikan bakar, ayam percik, ketupat sotong, kerutup daging, serunding dan ketupat daun palas memang dikenali enak dihasilkan oleh kaum wanita Kelantan.

Turut diketengahkan dalam kempen itu ialah kuih-muih seperti akok, lompat tikam, cekmek, jala mas, buah tanjung, puteri mandi, tepung pelita, onde-onde, nekbak, tepung boko dan dodol.

Beliau berkata empat buah hotel dan resort di negeri ini mengambil bahagian mempromosikan makanan dan kuih muih berkenaan.

"Saya yakin kepelbagaian juadah berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini mampu membantu menarik minat pelancong untuk berkunjung ke negeri ini," katanya.

Sumber: Bernama | 13 Jun 2014

No comments:

Post a Comment