Kertuk terus dipertahankan oleh masyarakat di Kelantan yang tidak mahu alat muzik tradisional itu pupus dalam arus kemodenan. |
TANAH MERAH: Alat muzik tradisional, kertuk mempunyai nilainya yang tersendiri dan mampu diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi sekiranya mendapat peluang sewajarnya daripada pihak berkaitan.
Seorang aktivis seni, Mohd. Sulhie Mohd. Yusoff berkata, keunikan alat muzik itu mampu dijadikan salah satu produk bagi menarik pelancong tempatan dan asing untuk memeriahkan lagi Tahun Melawat Malaysia 2014.
Menurutnya, sudah tidak ramai masyarakat yang mengetahui cara dan bagaimana alat muzik tradisional tersebut dihasilkan serta dimainkan kerana tumpuan golongan muda lebih terarah kepada alat muzik moden seperti gitar.
"Bagi saya usaha menghidupkan semula kesenian kertuk ini tepat pada masanya dan apa yang dilakukan oleh penduduk di Kampung Padang Lalang dan Becah Palas ini wajar diberikan pujian.
"Bukan mudah untuk meniup semula semangat dalam kalangan penduduk untuk kembali meminati seni warisan di zaman yang serba moden selain perlu bersaing dengan kecanggihan teknologi hari ini," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tambahnya, apa yang membanggakan, permainan ini turut mendapat penyertaan daripada golongan muda dan petanda positif ke arah mempertahankan permainan tersebut daripada terus lenyap ditelan peredaran masa.
Sementara itu seorang pemuda, Mohd. Firdaus Rosli, 20, mengakui teruja kerana dapat turut sama mempelajari permainan kertuk yang belum pernah dikenalinya sebelum ini.
Katanya, selepas tiga minggu mempelajari alat muzik berkenaan dia semakin serasi menguasai permainan kertuk dan berhasrat untuk menghidupkan semula budaya ini.
"Pada saya kertuk ini cukup unik, bagaimana hanya dengan sekeping kayu (belira) dan sebiji kelapa yang ditebuk mampu menghasilkan bunyi yang cukup menarik," katanya.
Sementara itu Alias Latif, 55, pula berkata, permainan itu mampu menjadi platform dalam menyatukan penduduk setempat melalui aktiviti seni.
Menurutnya, penyatuan itu dapat dilihat apabila golongan muda turut menyertai kumpulan kertuk yang ditubuhkan di kampung tersebut sekali gus memperlihatkan kesinambungan permainan ini akan berterusan pada masa depan.
"Saya gembira kerana permainan ini turut disertai oleh golongan muda dan itulah yang kita mahukan.
"Penglibatan generasi muda ini dijangka menyemarakkan lagi kesenian ini pada masa depan," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 20 Februari 2014
No comments:
Post a Comment