KOTA BHARU: Seramai 300 peserta termasuk 42 wakil daripada 18
buah negara luar bersaing dalam Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2014 di
Pantai Geting, Tumpat bermula Rabu hingga Sabtu ini bagi merebut hadiah
keseluruhan berjumlah RM32,000.
Pengerusi Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md.
Anizam Ab. Rahman berkata, penganjuran program bagi edisi ke-32 itu
telah menarik penyertaan dari Australia, Brunei, Belgium, China,
Indonesia, Itali, India, Jerman, Kemboja, Korea, Macau, Nepal, New
Zealand, Filipina, Sweden, Amerika Syarikat, Thailand dan United Kingdom
(UK).
Menurutnya, sebanyak 22 kategori dipertandingkan termasuk acara
menaikkan dan membuat beberapa jenis wau seperti wau bulan dan wau puyuh
peringkat kebangsaan serta pertandingan layang-layang cabaran 'rokakku'
dan 'train' antarabangsa.
"Selain usaha memastikan permainan wau terus diminati dan merancakkan
industri pembuatan wau tempatan, kita menganjurkan pertandingan ini
bagi mahu mempromosi Pantai Geting sebagai tapak pesta dan tempat
peranginan di negeri ini kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
"Sehingga Mac lalu seramai 1.3 juta pelancong telah melawat negeri
ini dan kita berharap penganjuran pesta wau akan memberi lebih impak
terutamanya apabila ia diadakan pada musim cuti persekolahan," katanya
kepada pemberita di sini hari ini.
Md. Anizam berkata, acara sampingan seperti pertandingan dikir barat
antara Kelantan dan Singapura serta pesta wau bercahaya akan turut
diadakan pada waktu malam bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Beliau memberitahu, Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan,
Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, Tourism Malaysia, Pejabat Kementerian
Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Jabatan Pendidikan negeri, Jabatan
Belia dan Sukan Kelantan serta Urusetia Belia dan Sukan negeri akan
menjadi agensi utama yang berperanan memastikan kelancaran program
tersebut.
Tambahnya, pihaknya juga mendapat kerjasama daripada Majlis Pelayang
Malaysia (MPM); Persatuan Pemain, Pembuat dan Peminat Layang-layang
(Pelayang) Kelantan serta Majlis Kebudayaan Kelantan.
"Pada tahun ini kita juga menumpukan kepada penyertaan golongan
remaja. Jadi, buat pertama kali kita mengadakan program bengkel membuat
dan menaik wau tradisi khusus untuk mereka.
"Kita mahu pesta ini menjadi tempat peminat wau segenap usia dan
peringkat berkumpul dan bertukar-tukar pandangan bagi memastikan
permainan ini tidak luput ditelan zaman," katanya.
Sementara itu, Bendahari Pelayang Kelantan, Suradi Muhammad pula
berkata, pihaknya berharap peserta Kelantan dapat mempertahankan
kejuaraan pada pesta tersebut yang telah dimenangi tiga tahun
berturut-turut sejak 2011.
"Kita juga menyandang reputasi sebagai negeri yang menjuarai kategori
kebangsaan di Pesta Wau Antarabangsa Pasir Gudang, Johor sebanyak tiga
tahun berturut-turut dengan yang terbaru pada Februari lalu," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 26 Mei 2017 | Terbitan 27 Mei 2014
No comments:
Post a Comment