27 May 2014

300 peserta bersaing dalam Pesta Wau Antarabangsa Kelantan

KOTA BHARU: Seramai 300 peserta termasuk 42 wakil daripada 18 buah negara luar bersaing dalam Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2014 di Pantai Geting, Tumpat bermula Rabu hingga Sabtu ini bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM32,000.

Pengerusi Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman berkata, penganjuran program bagi edisi ke-32 itu telah menarik penyertaan dari Australia, Brunei, Belgium, China, Indonesia, Itali, India, Jerman, Kemboja, Korea, Macau, Nepal, New Zealand, Filipina, Sweden, Amerika Syarikat, Thailand dan United Kingdom (UK).

Menurutnya, sebanyak 22 kate­gori dipertandingkan termasuk acara menaikkan dan membuat beberapa jenis wau seperti wau bulan dan wau puyuh peringkat kebangsaan serta pertandingan layang-layang cabaran 'rokakku' dan 'train' antarabangsa.

"Selain usaha memastikan permainan wau terus diminati dan merancakkan industri pembuatan wau tempatan, kita menganjurkan pertandingan ini bagi mahu mempromosi Pantai Geting sebagai tapak pesta dan tempat peranginan di negeri ini kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

"Sehingga Mac lalu seramai 1.3 juta pelancong telah melawat negeri ini dan kita berharap penganjuran pesta wau akan memberi lebih impak terutamanya apabila ia diadakan pada musim cuti persekolahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Md. Anizam berkata, acara sam­pingan seperti pertandingan dikir barat antara Kelantan dan Singapura serta pesta wau bercahaya akan turut diadakan pada waktu malam bagi menarik lebih ramai pengunjung

Beliau memberitahu, Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, Tourism Malaysia, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Jabatan Pendidikan negeri, Jabatan Belia dan Sukan Kelantan serta Urusetia Belia dan Sukan negeri akan menjadi agensi utama yang berperanan memastikan kelancaran program tersebut.

Tambahnya, pihaknya juga mendapat kerjasama daripada Majlis Pelayang Malaysia (MPM); Persatuan Pemain, Pembuat dan Peminat Layang-layang (Pelayang) Kelantan serta Majlis Kebudayaan Kelantan.

"Pada tahun ini kita juga menum­pukan kepada penyertaan golongan remaja. Jadi, buat pertama kali kita mengadakan program bengkel membuat dan menaik wau tradisi khusus untuk mereka.

"Kita mahu pesta ini menjadi tempat peminat wau segenap usia dan peringkat berkumpul dan bertukar-tukar pandangan bagi memastikan permainan ini tidak luput ditelan zaman," katanya.

Sementara itu, Bendahari Pela­yang Kelantan, Suradi Muhammad pula berkata, pihaknya berharap peserta Kelantan dapat mempertahankan kejuaraan pada pesta tersebut yang telah dimenangi tiga tahun berturut-turut sejak 2011.

"Kita juga menyandang reputasi sebagai negeri yang menjuarai kategori kebangsaan di Pesta Wau Antarabangsa Pasir Gudang, Johor sebanyak tiga tahun berturut-turut dengan yang terbaru pada Februari lalu," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 26 Mei 2017 | Terbitan 27 Mei 2014

26 May 2014

Wau bercahaya tarikan utama Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2014

KOTA BHARU: Wau bercahaya dijangka menjadi tarikan utama sempena Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2014 yang akan berlangsung selama empat hari di Pantai Geting Tumpat, bermula 28 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan, Datuk Md Anizam Abd Rahman berkata dianggarkan 50 peserta tempatan dan antarabangsa akan menyertai pertandingan dalam kategori terbabit.

"Kategori bagi Pesta Wau Bercahaya Antarabangsa akan berlangsung pada malam 30 Mei membabitkan penyertaan daripada agensi hotel, institusi pengajian tinggi, agensi pelancongan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan peserta antarabangsa.

"Pada malam berkenaan pengunjung berkesempatan menyaksikan simbahan cahaya wau yang menggunakan lampu 'Light Emitting Diode' (LED) dengan kreativiti masing-masing," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Katanya Kelantan telah memenangi juara keseluruhan pertandingan pesta wau itu sejak tiga tahun lalu dan berharap akan mengekalkan kejuaraan pada tahun ini.

Tambahnya Pesta Wau Antarabangsa kali ke-32 itu menyaksikan sebanyak 42 peserta antarabangsa dari 18 buah negara termasuk Australia, Belgium, China, England, Itali, New Zealand dan Sweden di samping 180 peserta kebangsaan.

Sebanyak 22 acara pertandingan akan diadakan sepanjang empat hari pesta berlangsung selain turut menganjurkan bengkel membuat wau kepada pelajar sekolah menengah.

Md Anizam berkata pesta wau yang diadakan bersempena musim cuti sekolah itu diharap mendapat sambutan lebih ramai pelancong ke Kelantan selain menjadikan wau sebagai salah satu ikon pelancongan negeri itu.

Sumber
: Bernama | 26 Mei 2014

19 May 2014

Kembalikan kegemilangan wau di Kelantan

Pertandingan wau di UPU Pangkal Meleret meriah.
DIMAINKAN oleh golongan istana, bangsawan sehinggalah kepada rakyat jelata, tidak dapat disangkal bahawa wau merupakan permainan tradisional paling popular di negara ini umumnya dan Kelantan khususnya.

Mencecah usia beratus tahun, permainan wau terus bertahan mengharung arus perubahan zaman dan minat terhadap permainan tradisional ini terus dipupuk serta berkekalan sehingga ke hari ini.

Ia terus menjadi permainan kegemaran penduduk kampung dan tiba musim kemarau atau musim menuai padi, bunyi dengungan wau akan memukau seluruh penduduk dan pastinya suasana bagaikan pesta akan terlihat di mana-mana.

Walaupun semakin dilupakan generasi moden dan terpaksa bersaing dengan pelbagai bentuk permainan moden yang lebih canggih pada masa kini, hakikatnya permainan wau tetap melekat di hati masyarakat.

Malah, masih ada dalam kalangan masyarakat hari ini bertungkus lumus menghasilkan pelbagai jenis wau demi memperkenalkan warisan kebudayaan itu kepada anak-anak muda sekali gus menarik minat mereka untuk terus memainkan dan memelihara tinggalan nenek moyang mereka.

OKU pelihara permainan wau

Anak kelahiran Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong, Machang, Husmizi Ibrahim yang juga orang kurang upaya (OKU) tidak ketinggalan menyahut cabaran bagi memelihara permainan tradisional itu.

Mungkin ramai kurang percaya berdasarkan kekurangan pada dirinya yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah, namun berkat kesungguhan dan minat mendalam, Husmizi sememangnya memiliki kemahiran yang bukan calang-calang dalam seni pembuatan wau.

Berbekalkan keazaman kuat yang diiringi dorongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga, Husmizi membuktikan tiada apa mampu menghalangnya mengembalikan kegemilangan wau.

Perlu kemahiran tinggi

Seni pembuatan wau bagi Husmizi bukan sekadar mampu menegakkan wau dan menongkah angin, malah memerlukan kemahiran seni tinggi untuk membuat hiasan indah yang mampu memukau pandangan orang-ramai.

Husmizi berkata, biarpun permainan wau semakin dilupakan dan hanya dihargai golongan tertentu, dia tetap setia memartabatkan permainan tradisional itu dan memilih untuk menghasilkan wau secara serius.

"Ini memang minat dan kemahiran saya. Dengan pergerakan terhad, tidak banyak yang mampu saya lakukan dan seni tradisional ini memberikan saya sumber pendapatan selain peluang untuk saya kembalikan kegemilangannya.

"Permainan wau seakan sudah sebati dengan diri saya setelah saya didedahkan dengan permainan ini sejak kecil. Antara wau yang saya hasilkan adalah wau jala budi, wau bulan, wau kucing dan wau puyuh," katanya.

Husmizi yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya menjelaskan, dia mempelajari seni pembuatan wau melalui pemerhatian dan bertanya orang-orang tua sejak di bangku sekolah.

Katanya, hasil kerjanya mula diiktiraf penggemar permainan tradisional itu apabila sering kali menjuarai pertandingan di pelbagai peringkat termasuk kebangsaan dan antarabangsa.

Melihat keindahan ukiran tebuk dan tampal pada wau yang dipamerkan di rumahnya, tidak mustahil wau buatan Husmizi amat digemari orang-ramai sama ada untuk pertandingan, mahupun sebagai perhiasan.

Usaha terlihat jelas

Usaha mengembalikan kegemilangan permainan tradisional itu dapat dilihat dengan jelas apabila ia tersenarai sebagai salah satu aktiviti pada beberapa Program Anak Muda Kelantan (AMK) yang dianjurkan di Jajahan Machang.

Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas Kawasan Machang, Noorhisham Mohd Noor berkata, program tersebut mendapat sambutan memberangsangkan pada program AMK Unit Peti Undi (UPU) Pangkal Meleret baru-baru ini.

Katanya, penyertaan yang diterima di luar jangkaan dan ia sekali gus membuktikan minat mendalam terhadap seni tradisional tersebut dalam kalangan masyarakat.

Tambahnya, UPU Kweng Hitam turut menyenaraikan permainan wau sebagai salah satu acara dalam program AMK di kawasan tersebut.

Sumber: Sinar Harian | 19 Mei 2014

Masakan tradisi Kelantan jadi tarikan pelancongan

KOTA BHARU: Keaslian dan kepelbagaian masakan tradisi golongan bangsawan dan pertengahan Kelantan mampu menjadi satu lagi daya tarikan pelancongan di negeri ini dalam usaha mencapai sasaran enam juta pelancong tahun ini.

Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Kelantan Datuk Md Anizam Abd Rahman berkata sehubungan itu, pemain utama industri pelancongan seperti hotel diminta mengetengahkan masakan tradisi Kelantan.

"Sehingga bulan Mac lepas, sejumlah 1.3 juta pelancong berkunjung ke Kelantan. "Usaha menjadikan hotel sebagai tempat khas yang mengetengahkan masakan tradisi Kelantan akan memberi alternatif terbaik kepada pelancong untuk menikmati masakan Kelantan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Promosi 'Citra Rasa Tradisi Kelantan' di sini Ahad.

Sementara itu, Pengerusi Hotel Holiday Villa Kota Bharu Datuk Wan Zaid Wan Abdullah berkata ikan kelah yang didatangkan khas dari Hulu Kelantan akan menjadi menu utama hotel berkenaan.

Beliau berkata menu lain termasuk kerabat daging, kuih-muih dan pelbagai jenis kerabu.

Source: Bernama | 18 May 2014