KOTA BHARU: Hotel Renaissance Kota Bharu di sini pada Khamis menawarkan program bertema 'Discover the Night Market' untuk para tetamunya mengenali budaya unik masyarakat tempatan dengan lebih dekat.
Program sehari itu dianjurkan bersempena aktiviti tahunan keempat Global Day of Discovery yang diperkenalkan hotel itu sejak 2011.
Pengurus Besar Hotel Renaissance Kota Bharu, Izudin Merican berkata melalui program itu, pelancong yang menginap di hotel berkenaan akan menikmati rasa asli masakan Kelantan selain berpeluang melihat aktiviti mencanting batik, anyaman rotan dan pameran barangan perak.
"Pada setiap 11 Jun, 160 Hotel Renaissance di seluruh dunia akan menyambut Global Day of Discovery dan pada hari itu, kami akan melaksanakan beberapa aktiviti tempatan yang unik bertujuan mempromosikan budaya tempatan.
"Di Kelantan, kami memilih tema Discover the Night Market di mana pelanggan yang menginap di hotel ini berpeluang merasai pengalaman menarik menyusuri budaya tempatan sebaik sahaja melangkah ke dalam hotel," katanya kepada pemberita pada program berkenaan di sini.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Kelantan Mohd Aidil Afiza Daud berkata para pengusaha dalam industri pelancongan memainkan peranan lebih berkesan dalam mempromosikan budaya unik Kelantan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Mereka yang terlibat, termasuk pengusaha hotel, pusat peranginan, chalet serta kafe dan restoran perlu bijak 'menjual' budaya negeri ini yang sering digambarkan sebagai 'the cradle of culture' (tempat lahirnya budaya).
"Pemain industri perlu menonjolkan keramahan budaya terutama orang Kelantan bermula dari pintu-pintu masuk ke negeri ini sehinggalah ke tempat penginapan mereka," katanya.
Sumber: Bernama | 12 Jun 2015
No comments:
Post a Comment