28 February 2014

Cuti-cuti Singapura: Terbang dari Kota Bharu ke Singapura


Selamat Datang
Tebingan Sungai Singapura bersebelahan dengan Bangunan Parlimen di pusat bandar raya Singapura.
Singapura merupakan salah satu destinasi pelancongan popular di rantau Asia Tenggara selain Malaysia, Thailand, dan Indonesia. Kedudukannya yang strategik menjadikannya hab transit utama pelancong dari rantau-rantau lain ke rantau ini selain Bangkok dan Kuala Lumpur lebih-lebih lagi Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura menawarkan perkhidmatan penerbangan ke seluruh dunia terutamanya destinasi-destinasi di rantau Asia, Oceania, Eropah, Amerika Utara, dan Afrika.


Tempat-tempat Menarik di Singapura

Terdapat banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi di Singapura seperti Kampong Gelam, Pasar Geylang Serai, Taman Merlion (Merlion Park), Bukit Fort Canning, Bukit Timah, Ochard Road, Little India, Chinatown, Marina Bay, Pulau Sentosa, Universal Studio Singapura (USS), Taman Burung Jurong, Zoo Singapura, menaiki Kereta Kabel Singapura (Singapore Cable Car), Singapore Flyer, atau menyusuri Sungai Singapura dengan bot pelancong. 
Masjid Sultan di Kampong Gelam, Singapura. Foto ihsan: Erwin Soo

Kampong Gelam – Terdapat tiga lokasi pelancongan menarik di Kampong Gelam, iaitu Masjid Sultan, Istana Kampong Gelam, dan Arab Street (beli-belah). Masjid Sultan merupakan antara tempat yang wajib dikunjungi jika berkunjung ke Singapura, manakala Istana Kampong Glam yang kini dijadikan Pusat Kebudayaan Melayu terletak tidak berapa jauh dari Masjid Sultan. Arab Street merupakan jalan masuk utama ke tempat pelancongan ini dari Stesen MRT Bugis. Di kawasan pelancongan ini ada tempat makan halal termasuk Restoran Mamanda yang terletak di hadapan Istana Kampong Gelam. 
Istana Kampong Gelam yang kini dijadikan sebagai Pusat Warisan Melayu Singapura. Foto ihsan: thepoktrail.blogspot.com
Pasar Geylang Serai – Pasar besar ini merupakan pusat perniagaan orang Melayu utama di Singapura. Ia terletak di Changi Road dan hanya perlu berjalan kaki kira-kira 10 – 15 minit untuk sampai ke pasar ini dari Stesen MRT Paya Lebar. Anda boleh membeli pelbagai jenis tekstil dan pakaian di pasar ini dan boleh menjamu selera di medan selera di pasar ini. Medan selera di pasar ini menawarkan pelbagai jenis makanan popular di Singapura.

Padang – Kunjungan ke Singapura mungkin tidak lengkap jika tidak berkunjung ke Padang, iaitu kawasan lapang  yang berlatarbelakangkan bangunan City Hall yang menjadi salah satu ikon pelancongan Singapura. City Hall merupakan bangunan lama tinggalan penjajah Inggeris sama seperti Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. Dari Padang anda boleh berjalan kaki ke Esplanade Park untuk menikmati keindahan pemandangan bangunan pencakar langit di kawasan Raffles Place. Untuk ke sini anda boleh turun di Stesen MRT City Hall atau pun Stesen MRT Raffles Place.

Taman Merlion – Merlion merupakan ikon utama pelancongan Singapura. Merlion merupakan tugu singa yang berbadankan ikan duyung yang mengeluarkan air dari mulutnya. Tidak sah kunjungan ke Singapura jika tidak mengabadikan gambar kenangan di sini. Untuk ke sini anda boleh turun di Stesen MRT Raffles Place yang terletak di kawasan daerah perniagaan pusat (CDB) Singapura. 
Taman Merlion (Merlion Park) di Teluk Marina (Marina Bay), Singapura. Foto ihsan: www.advisortravelguide.com
Orchard Road – Kawasan beli-belah premium utama di Singapura terutamanya untuk golongan  kelas atasan. Ia lebih kurang sama dengan kawasan Bintang Walk di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Untuk ke sini, anda boleh turun di Stesen MRT Orchard dan Stesen MRT Dhoby Ghaut. Info:  www.orchardroad.org

Bukit Fort Canning – Merupakan sebuah kawasan rekreasi yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan pencakar langit kota Singapura. Bukit Fort Canning pernah menjadi pusat pemerintahan kesultanan Singapura pada suatu ketika dahulu. Antara lokasi menarik di Fort Canning yang boleh dikunjungi ialah Keramat Sultan Iskandar Shah. Info: www.nparks.gov.sg
Keramat Sultan Iskandar Shah di Bukit Fort Canning, Singapura. Foto ihsan: lioncitysites.wordpress.com
Kereta Kabel Singapura (Singapore Cable Car) – Kereta Kabel Singapura merupakan antara tarikan utama di Singapura.  Perkhidmatan kereta kabel ini telah diundi sebagai tarikan pelancong paling popular di Singapura pada tahun 2011. Nikmati pemandangan indah bandar raya, pelabuhan dan Pulau Sentosa dengan menaiki Kereta Kabel Singapura ini. Perkhidmatan kereta kabel ini menghubungkan pusat bandar raya dengan Pulau Sentosa. Untuk menaikinya, dari Stesen MRT Harbour Front keluar ikut Pintu Keluar B (Exit B) ke arah Harbour Front Centre. Lintas jejantas di sebelah Restoran KFC untuk ke stesen kereta kabel. Info: www.singaporecablecar.com.sg
Perkhidmatan Kereta Kabel Singapura. Foto ihsan: www.singaporecablecar.com.sg
Lain-lain – Antara tarikan lain di Singapura ialah Pulau Sentosa (info: www.sentosa.com.sg), Resort World Sentosa & Universal Studio Singapura (info: www.rwsentosa.com), Singapore Flyer (info: www.singaporeflyer.com), Singapore River Cruise (info: www.rivercruise.com.sg), Masjid Abdul Gaffoor (MRT Bugis & MRT Little India) Taman Burung Jurong (info: www.birdpark.com.sg), Zoo Singapura (info: www.zoo.com.sg),  Rizab Alam Semula Jadi Bukit Timah (info: www.nparks.gov.sg), Mount Faber (info: www.mountfaber.com.sg), dan Tebingan Sungai Singapura (Singapore River Waterfront).
Singapore Flyer. Foto ihsan: The Straits Times (Singapore)
Beli-belah di Singapura

Antara lokasi beli-belah popular di Singapura ialah Orchard Road (produk premium), Arab Street (produk tekstil), Chinatown, Little India (Mustafa Centre), Woodlands, dan Geylang Serai (Pasar Geylang Serai). 

Harga barangan dan perkhidmatan dan Singapura mungkin agak mahal berbanding negara-negara serantau lain. Namun begitu sebenarnya masih ada lagi beberapa tempat yang menjual barangan dengan harga yang berpatutan seperti Pasar Geylang Serai dan Pusat Beli-belah Mustafa Centre
Kompleks Pasar Geylang Serai di Geylang Serai, Singapura. Foto ihsan: kerajaanrakyat.blogspot.com
Berkunjung ke Pasar Geylang Serai di Geylang Serai merupakan pilihan yang bijak jika anda ingin membeli barangan berasaskan tekstil seperti kain baju kurung, kain sarung wanita dan lelaki, baju kanak-kanak, peralatan atau pakaian sembahyang, dan sebagainya yang dijual pada harga yang murah dan berpatutan. Anda boleh tawar- menawar dengan peniaga supaya mendapat harga yang lebih rendah. Majoriti peniaga di pasar besar ini ialah orang Melayu. Ada seorang peniaga Cina di pasar ini yang menjual kain baju kurung yang boleh bercakap dalam dialek Kelantan kerana penulis pernah membeli-belah di sini pada 5 November 2013 yang lepas.

Kompleks Pasar Geylang Serai juga merupakan syurga makanan Melayu di Singapura. Anda mungkin boleh mencuba cendol, sup gearbox merah, nasi ayam, dan pelbagai pilihan makanan lagi.  Nota: Jika anda menginap di Geylang Road, dari pasar ini terus ambil bas bandar ke Geylang Road. Ia sungguh mudah!


Panduan MRT di Singapura
Untuk menaiki sistem kereta api Transit Aliran Massa (MRT) di Singapura anda perlu memiliki kad EZlink yang dijual pada harga S$12.00 termasuk S$7.00 nilai kad yang boleh digunakan sebarang perjalanan. Anda boleh membeli dan menambah nilai di mana-mana stesen MRT. Sistem kereta api MRT di Singapura menghubungkan semua tempat penting di Singapura termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Changi. Sistem MRT di Singapura menawarkan pertukaran yang cekap antara aliran.

Penginapan
Kawasan penginapan yang dikira paling murah di Singapura terletak di Geylang Road (Geylang). Dua buah stesen MRT yang menawarkan perkhidmatan bagi kawasan Geylang ialah Stesen MRT Aljunied dan Stesen MRT Kallang. Kebanyakan hotel di kawasan ini menawarkan caj di bawah RM180.00 semalam dan untuk bilik standard anda boleh mendapatkannya dengan harga sekitar RM150.00 semalam. Tempahan hotel boleh dibuat melalui laman sesawang Agoda: www.agoda.com atau www.agoda.com.my

Tempahan hotel hendaklah dibuat lebih awal sebelum tiba di Singapura untuk penjimatan wang. Antara hotel utama di kawasan Geylang ialah Hotel Fragrance Crystal, Hotel Fragrance Emerald, Hotel Fragrance Pearl, Hotel Fragrance Ruby, Hotel Fragrance Sapphire, Hotel Fragrance Sunflower, Hotel New Happy, Hotel 81 Geylang, Hotel 81 Gold, Hotel 81 Hollywood, Hotel 81 Lucky, Hotel 101 dan Hotel Darlene.

Jika anda ingin membuat tempahan bilik melalui Agoda, anda dinasihatkan berbuat demikian pada hari Isnin hingga Khamis sahaja kerana dalam tempoh tersebut kadar bilik yang ditawarkan lebih murah berbanding pada hujung minggu. Satu perkara lagi, jangan buat tempahan bilik terlalu awal misalnya enam atau empat bulan sebelum. Sebaik-baiknya buatlah tempahan bilik dua bulan sebelum dan kadang-kadang hanya tinggal dua minggu sahaja lagi, pihak Agoda akan menurunkan lagi harga bilik. Nota: Tempahan bilik melalui Agoda adalah dijamin dan anda tidak perlu risau. Bayaran tempahan bilik boleh dibuat dengan menggunakan kad kredit atau kad debit.

Cara ke Sana
Syarikat penerbangan AirAsia menawarkan perkhidmatan penerbangan terus antarabangsa dari Kota Bharu (KBR) ke Singapura (SIN) dan sebaliknya mulai 21 April 2014 dengan kekerapan empat kali seminggu, iaitu setiap hari Ahad, Isnin, Rabu, dan Jumaat.

AirAsia beroperasi dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura dan penerbangan terus antarabangsa ini mengambil masa kira-kira 1 jam 20 minit sahaja. Untuk maklumat lanjut dan urusan tempahan tiket secara dalam talian, sila layari laman sesawang: www.airasia.com.

Ringkasan Penting

  • Pastikan anda membawa peta laluan perkhidmatan MRT di Singapura untuk memudahkan anda membuat perjalanan ke satu-satu tempat atau membuat pertukaran tren.
  • Membawa peta bersama akan dapat membantu anda ke satu-satu tempat dan jangan malu untuk bertanya jika anda hilang arah kerana warga Singapura memang mesra pelancong.
  • Sediakan wang yang kecil untuk membeli kad Ezlink (hanya S$12.00) di mana-mana stesen MRT.
  • Tambah nilai minimum kad Ezlink adalah S$10.00 di mana-mana stesen MRT.
  • Rancang dan tempahlah tiket penerbangan lebih awal supaya anda boleh mendapat harga tiket yang lebih murah.
  • Terdapat dua tarikan utama di Kampong Gelam, iaitu Masjid Sultan dan Istana Kampong Glam, manakala akses utama ke Kampong Gelam ialah Stesen MRT Bugis dan Arab Street. 
  • Tempahan hotel melalui Agoda pada pertengahan minggu lebih murah berbanding pada hujung minggu walaupun pada hujung minggu Agoda ada membuat promosi jualan bilik.
  • Urusan pertukaran wang daripada Ringgit Malaysia kepada Dolar Singapura boleh dibuat di kaunter pertukaran wang milik Maybank di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu dan Bangunan Pusat Beli-Belah Pantai Timur (Jalan Pintu Pong, Kota Bharu). 

NOTA: Penerbitan semula informasi daripada laman blog ini tidak dibenarkan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak kami. Kami ingin memohon mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya mencedok (copy & paste) maklumat daripada laman blog ini untuk diterbitkan semula di laman sosial sendiri atau laman awam lain seperti Facebook, multi-page thread (contoh: SkyscraperCity.com) dan sebagainya. Hal ini kerana ia merupakan suatu tindakan yang tidak bermoral dan tidak beretika dengan mengambil hasil kerja orang lain untuk mempopularkan laman blog, multi-page thread, dan Facebook sendiri.

SENARAI PASAR MALAM DI SELURUH KELANTAN 2014

Pasar Malam Buluh Kubu yang terletak di Jalan Maahad melalui (off) Jalan Pintu Pong di pusat bandar raya Kota Bharu. Foto: Arkib Facebook KBBRI (www.facebook.com/kbbri)
PASAR MALAM (night market) merupakan lokasi tumpuan ramai pada waktu malam terutamanya pada hujung minggu atau selepas pulang dari kerja. Pasar malam menjual pelbagai jenis barangan dari makanan sehinggakan pakaian dan barangan dapur.

Di Kelantan misalnya, pasar malam merupakan lokasi yang ideal untuk mencari makanan tradisi Kelantan seperti nasi kerabu, nasi dagang Kelantan, laksam, dan pelbagai jenis kuih-muih tradisional Kelantan. Kebanyakan pasar malam beroperasi seawal jam 17:00 atau selewat-lewatnya jam 18:00 sehingga ke jam 22:00 tetapi ada juga sesetengah pasar malam beroperasi sehingga tengah malam dan awal pagi.

Terdapat tiga lokasi pasar malam yang dibuka setiap hari di bandar raya Kota Bharu, Kelantan, iaitu (1) Pasar Malam Buluh Kubu di Jalan Maahad melalui Jalan Pintu Pong dan (2) Bazar Larut Malam Kota Bharu (Kota Bharu Uptown) di Jalan Parit Dalam di pusat bandar raya, manakala (3) Pasar Larut Malam Wakaf Che Yeh yang terletak kira-kira lima kilometer ke selatan pusat bandar raya Kota Bharu melalui Jalan Sultan Ibrahim dan Jalan Kuala Krai.

Berikut disenaraikan lokasi-lokasi tapak pasar malam di seluruh Kelantan terutamanya di sekitar kawasan Kota Bharu Raya (Greater Kota Bharu) yang boleh anda kunjungi selain yang telah dinyatakan di atas:- 

Setiap Hari Ahad
Berek 12, Kota Bharu (18:00 - 22:00) | Kota Jembal (Kedai Lalat), Kota Bharu | Gunong, Bachok | Cabang Empat, Tumpat | Pekan Pengkalan Kubor (sebelah Masjid Pengkalan Kubor), Tumpat | Dataran Peladang, Kuala Krai. 

Setiap Hari Isnin
Bandar Baharu Kubang Kerian (Jalan Tok Kenali), Kota Bharu | Padang Tembak, Kota Bharu | Kok Lanas, Kota Bharu (18:00 - 22:00) | Kg. Laut, Tumpat | To' Uban, Pasir Mas (17:00 - 21:00) | Perupok, Bachok | Pekan Machang | Bukit Sireh, Kuala Krai. 

Setiap Hari Selasa
Kota Jembal (Kedai Lalat), Kota Bharu | Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu | Kg. Tanjung Mas, Kota Bharu (18:00 - 22:00) | Pekan Tanah Merah (belakang Pasar Raya Aneka) | Pasir Tumboh Bandar Satelit Islam, Kota Bharu | Beris Kubor Besar, Bachok | Jalan Pintasan Pasir Puteh, Pasir Puteh | Kota Kubang Labu, Tumpat

Setiap Hari Rabu
Flat Kg. Sireh, Kota Bharu | Padang Tembak, Kota Bharu | Kg. Kubor Maras (Langgar), Kota Bharu | Kg. Tapang, Kota Bharu (18:00 - 22:00) | Kg. Teluk (Panji), Kota Bharu | Kg. Mulong, Kota Bharu (17:00 - 22:00) | Pantai Cahaya Bulan (Jalan Taman Buaya), Kota Bharu | Jalan Tanjung Baharu (PCB), Kota Bharu | Pekan Peringat, Kota Bharu | Padang KTM, Tumpat | Kg. Morak, Tumpat | | Pusat Bandar Pasir Mas (berdekatan Plaza Serangkai Mas) (17:00 - 21:00) | Gual Ipoh, Tanah Merah  | Pekan Kuala Krai. 

Setiap Hari Khamis
Kawasan Perindustrian Lundang, Kota Bharu | Pekan Ketereh | Kg. Jambu Merah (berdekatan Jambatan Kada Resort, Melor), Kota Bharu | Gunong, Bachok | Pekan Wakaf Bharu, Tumpat (17:00 - 23:00) | Tendong (berhampiran SK Othman Talib II), Pasir Mas | Cabang Tiga Meranti, Pasir Mas | Batu 11, Tanah Merah (depan Pusat Ternakan Pantai Timur) | Tok Bali, Pasir Puteh | Bandar Baharu Gua Musang (17:00 - 00:00). 

Setiap Hari Jumaat
Taman Sri, Pengkalan Chepa, Kota Bharu | Bandar Baharu Kubang Kerian (kawasan Pasar Raya Nirwana Mas), Kota Bharu | Pekan Melor, Kota Bharu | Pantai Irama, Bachok (17:00 - 22:00) | Kg. Berangan, Tumpat | Kg. Kok Majid, Tumpat | Temangan, Machang. 

Setiap Hari Sabtu
Pekan Pengkalan Chepa (Taman Bendahara), Kota Bharu | Pasir Tumboh Bandar Satelit Islam, Kota Bharu | Kg. Guchil Bayam, Kota Bharu (18:00 - 22:00) | Kg. Kok Pasir, Tumpat | Kg. Telaga Lanas, Tumpat | Kg. Tebing, Pengkalan Kubor, Tumpat (18:00 - 21:00) | Kg. Repek (berhampiran SMK Tiang Chandi), Pasir Mas | Beris Kubor Besar, Bachok | Pekan Kuala Krai | Pekan Pasir Puteh. 

Nota: Dikemas kini setakat 28 Februari 2014

NOTA: Penerbitan semula informasi daripada laman blog ini tidak dibenarkan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak kami. Kami ingin memohon mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya mencedok (copy & paste) maklumat daripada laman blog ini untuk diterbitkan semula di laman sosial sendiri atau laman awam lain seperti Facebook, multi-page thread (contoh: SkyscraperCity.com) dan sebagainya. Hal ini kerana ia merupakan suatu tindakan yang tidak bermoral dan tidak beretika dengan mengambil hasil kerja orang lain untuk mempopularkan laman blog, multi-page thread, dan Facebook sendiri.

22 February 2014

Kertuk terus subur dalam arus pemodenan

Che Omar Che Mud mengetam kayu untuk dijadikan belira bagi alat muzik kertuk ketika ditemui di Kampung Padang Lalang, Tanah Merah, Kelantan.
TANAH MERAH: Kelantan sememangnya terkenal dengan pelbagai seni budaya yang masih utuh dan diamalkan oleh masyarakatnya sehingga sekarang meskipun berada pada zaman serba moden yang penuh dengan pelbagai kecanggihan teknologi.

Lantaran itu, tidak hairanlah jika negeri ini dijulang sebagai salah satu kota budaya yang masih kaya dengan pelbagai seni warisan sehingga ia masih lagi dapat dinikmati dan warisi oleh generasi muda pada hari ini.

Bukan itu sahaja, negeri yang terkenal dengan jolokan 'Tanah Serendah, Sekebun Bunga' ini turut mempunyai alat muzik tradisonal yang cukup terkenal dan dimainkan sehingga hari ini.

Antara alat muzik tradisional yang masih menjadi pilihan dalam majlis keraian ialah serunai, rebana ubi, gendang serta kertuk. Kertuk salah satu alat muzik yang cukup popular satu ketika dahulu dan bertindak sebagai medium bagi menyampaikan sesuatu perkhabaran mahupun berita kepada penduduk di sesebuah kampung.

Kertuk dikategorikan sebagai peralatan muzik idiofon iaitu sejenis alat yang diketuk untuk menghasilkan bunyi dan terdiri daripada empat komponen utama iaitu belira, badan kertuk (diperbuat daripada buah kelapa), pemalu dan lekar (pelapik).

Menyedari kepentingan mempertahankan alat muzik tersebut daripada lenyap ditelan arus kemodenan pada zaman yang serba canggih dengan pelbagai kemudahan teknologi, seorang warga emas, Che Omar Che Mud, 76, dari Kampung Padang Siam dekat sini mengambil inisiatif dengan menghidupkan kesenian berkenaan.

Walaupun usianya sudah melangkaui setengah abad, Che Omar tetap menggagahkan kudratnya dengan menghasilkan kertuk untuk tatapan generasi muda bagi bagi memastikan seni budaya itu terus subur.

"Disebabkan bimbang kemahiran membuat kertuk ini terus lenyap, saya mengambil keputusan memperturunkan ilmu ini kepada generasi muda agar seni warisan ini kekal.

"Kertuk adalah salah satu alat muzik dan seni warisan rakyat Kelantan yang perlu dipertahankan untuk tatapan generasi masa hadapan kerana manfaatnya cukup besar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kumpulan Putra Palas (kiri) dan Litar Lalang beradu kemahiran bermain kertuk dalam majlis pelancaran Kumpulan Kertuk Nyior Arjuna Sukma di Kampung Padang Lalang, Tanah Merah, Kelantan, baru-baru ini.

Tambahnya, kertuk juga menjadi platform merapatkan hubungan persaudaraan antara golongan muda dan tua di sesebuah kampung sekali gus mewujudkan suasana harmoni.

Kertuk dihasilkan menggunakan sebatang buluh dan ditebuk pada bahagian tengah untuk mengeluarkan bunyi atau isyarat apabila diketuk menggunakan batang kayu.

Menariknya alat muzik ini turut mengalami transformasi apabila dihasilkan dengan menggunakan sebiji kelapa yang ditebuk pada bahagian tengah dan keluarkan isi sebelum diletakkan dengan sekeping kayu dipanggil belira.

Menurut Che Omar, belira sepanjang dua kaki itu diperbuat daripada kayu lazimnya dari pokok nangka dan ia akan mengeluarkan bunyi apabila diketuk atau dipukul menggunakan sebatang kayu.

Katanya, kekuatan bunyi belira tersebut bergantung kepada ketebalan kayu nangka, chengal, merbau yang digunakan untuk menghasilkan bunyi alat muzik itu.

"Jika belira itu tebal maka bunyi dikeluarkan oleh kertuk berkenaan lebih nyaring begitulah sebaliknya. Dari situlah penilaian dibuat untuk mengetahui kelunakan bunyi kertuk berkenaan," ujarnya.

Che Omar berkata, selain belira kelunakan bunyi kertuk juga bergantung kepada saiz lubang dan buah kelapa yang diguna pakai dalam menghasilkan alat muzik berkenaan.

Menurutnya, permainan ini kebiasaannya dimainkan secara berpasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dan setiap daripada mereka mempunyai enam ahli.

"Kedua-dua kumpulan ini masing-masing akan beradu kekuatan melalui bunyi pukulan serta alunan muzik yang dihasilkan mengikut kreativiti mereka," katanya.

Che Omar memberitahu, hasratnya menghidupkan semula permainan ini agar ia tidak luput ditelan zaman selain mahu generasi muda mengenali alat muzik tradisi rakyat Kelantan yang dimain sejak dahulu lagi.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 20 Februari 2014