14 June 2014

Kelantan rancang jadi hab aktiviti sukan berkuda negara

Gambar hiasan daripada http://jejulokstable.blogspot.com/
TUMPAT: Kerajaan Negeri Kelantan akan menjadikan negeri ini sebagai hab sukan berkuda berikutan sambutan dan penglibatan rakyat yang menggalakkan dalam aktiviti terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata selain kebudayaan dan warisan, aktiviti berkuda berpotensi menjadi satu lagi daya tarikan pelancong ke Kelantan.

"Jika Kelantan boleh mempopularkan sukan terbabit, kita dapat menghimpunkan semua peminat kuda seluruh negara sekali gus menjadi hub sukan berkuda di Malaysia," katanya selepas merasmikan Fiesta Sukan Berkuda Piala Pusingan Exco Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan di sini, pada Sabtu.

Katanya kerajaan negeri akan membuat perbincangan lanjut dengan Persatuan Sukan Berkuda Amatur Negeri Kelantan (PSBANK) untuk menyusun program terancang bagi mempopularkan sukan itu seperti Festival Wau Antarabangsa yang berjaya menghimpunkan peminatnya dari pelbagai negara.

Md Anizam berkata terdapat 2,000 populasi pelbagai jenis kuda di Kelantan dan aktiviti sukan berkuda sudah popular di beberapa daerah seperti Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat.

Katanya fiesta yang julung kali diadakan itu adalah satu langkah permulaan yang baik untuk memberi nafas baharu kepada pemilik dan peminat kuda di Kelantan.

Antara acara menarik perhatian pengunjung di fiesta yang diadakan di Pantai Geting di sini adalah pertandingan kuda cantik dan acara "pecut' melibatkan penyertaan 23 ekor kuda dari seluruh negeri.

Pemarkahan dinilai berdasarkan kriteria seperti penampilan bentuk badan, kebersihan kulit dan perhiasan pada kuda yang dipertandingkan.

Kuda bernama "Jack" milik Adnan Ab Ghani , 41, dari Kampung Galok, Pasir Mas menjadi juara bagi katogeri Kuda Padi sementara "Pra-8" milik Zainuri Mohd Jidin, 30, dari Kampung Bonohan, Tumpat mengekalkan kejuaraan bagi

Sumber: Bernama | 14 Jun 2014

Menu maggi tiram pikat pelanggan di Kg. Gong Batu, Kemayang, Bachok

Hasimah menunjukkan menu baru megi tiram yang diperkenalkan dan mendapat sambutan dalam kalangan penggemar tiram.
BACHOK: Bekas peserta Jaguh Kampung 2012, Hasimah Nor, 47, tidak pernah kecewa walaupun hanya mendapat tempat kedua dalam siri itu apabila ditewaskan peserta pasukan Pahang.

Hasimah yang menyertai rancangan Jaguh Kampung bersama dua lagi teman sekampungnya membawa nama Kelantan hingga ke peringkat akhir pada pertandingan tersebut di Janda Baik, Pahang.

Pengalaman yang dikutip sepanjang pertandingan itu digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan mutu masakannya.

Terbaharu, dia menemukan menu agak berlainan iaitu maggi tiram yang menggunakan isi tiram segar sebagai bahan utama, selain isi ayam dan sayuran.

“Biasanya orang makan maggi  ketam tetapi saya rasa ia sudah terlalu biasa di negeri ini dan saya ingin cuba sesuatu yang baharu.

“Alhamdulillah, percubaan kami berhasil apabila menu ini digemari ramai termasuk mendapat tempahan khusus daripada pelancong luar Kelantan tetapi menu ini masih baharu di sini dan belum diketahui ramai,” katanya yang baharu sahaja lima bulan membuka warung megi tiram di Kampung Gong Batu, Kemayang.

Katanya, bekalan tiram diperoleh daripada suaminya, Musa Daud, yang memang terlibat dalam membekal makanan tersebut sebelum ini. Hasimah berkata, semangkuk maggi tiram segar boleh dinikmati dengan hanya RM8 di gerai mereka.

“Ada juga kami terima panggilan pelanggan dari Pelabuhan Klang yang kebetulan datang atas urusan kerja di negeri ini. "Mereka nak makan tiram segar dari kulitnya sekali pun kami boleh sediakan,” katanya.

Hasimah berkata, warungnya dibuka untuk kemudahan anaknya yang mengadakan latihan dikir barat di belakang warung tersebut.

Katanya, pasukan dikir barat yang dikendalikan suaminya dan disertai belia setempat itu terpilih sebagai wakil Kelantan pada pertandingan akhir dikir barat belia di Putrajaya, baru-baru ini.

“Anak-anak dan belia setempat ada buat latihan dikir barat berdekatan warung saya ni. Senang saya nak pantau mereka, selain mengelak mereka pergi ke tempat lain.

"Sekurang- kurangnya saya tahu mereka ada depan mata saya, duduk saja di warung ni,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 14 Jun 2014

13 June 2014

Kelantan sasar tarik setengah juta pelancong sepanjang Ramadhan dan Aidilfitri tahun ini

PASIR PUTEH: Kempen Citra Rasa Ramadan Tahun Melawat Malaysia menyasarkan 500,000 pelancong domestik dan luar negara mengunjungi Kelantan sepanjang Ramadhan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan sedang giat mempromosi kempen itu, kata Pengarahnya Mohd Aidil Afizie Daud.

"Keistimewaan 200 jenis makanan dan kuih tradisional Kelantan akan menjadi daya tarikan utama juadah berbuka puasa selain lokasi menarik dan pusat peranginan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkankan Kempen Citra Rasa Ramadan Negeri Kelantan di sebuah resort di Tok Bali di sini, malam tadi.

Beliau berkata hidangan makanan seperti nasi kerabu, nasi dagang, nasi tumpang, nasi belauk, nasi himpit sambal, pulut ikan bakar, ayam percik, ketupat sotong, kerutup daging, serunding dan ketupat daun palas memang dikenali enak dihasilkan oleh kaum wanita Kelantan.

Turut diketengahkan dalam kempen itu ialah kuih-muih seperti akok, lompat tikam, cekmek, jala mas, buah tanjung, puteri mandi, tepung pelita, onde-onde, nekbak, tepung boko dan dodol.

Beliau berkata empat buah hotel dan resort di negeri ini mengambil bahagian mempromosikan makanan dan kuih muih berkenaan.

"Saya yakin kepelbagaian juadah berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini mampu membantu menarik minat pelancong untuk berkunjung ke negeri ini," katanya.

Sumber: Bernama | 13 Jun 2014

11 June 2014

Tourism Kelantan jangka 100 peserta sertai 'By-Cycle Hunt Amazingly Fun Race'

KOTA BHARU: Tourism Malaysia Kelantan menjangkakan 100 peserta menyertai program 'By-cycle Hunt Amazingly Fun Race' di sini Sabtu ini.

Timbalan Pengarahnya, Kamal Azam Kamaruddin berkata setakat ini 88 peserta daripada 22 pasukan tempatan dan luar negara telah mengesahkan penyertaan.

"Kita jangka pada hari pertandingan nanti akan capai sasaran 100 peserta," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat program 'By-cycle Hunt Amazingly Fun Race' di sini, Selasa.

Beliau berkata pertandingan yang berkonsepkan 'treasure hunt' secara berbasikal itu adalah yang pertama kali dianjurkan oleh pihaknya di samping para peserta boleh menerokai keindahan negeri ini dengan jarak kayuhan sejauh 70 kilometer.

"Sepanjang kayuhan, kita akan menerokai tempat-tempat menarik di negeri ini seperti Pantai Senok, Pantai Kemayan, Pulau Melaka dan lain-lain di samping kita dapat melihat budaya masyarakat di tempat itu sendiri," katanya.

Peserta berpeluang mendapat hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM2,100 selain hamper kepada setiap kumpulan, baju kepada peserta dan mereka juga berpeluang untuk membawa pulang hadiah cabutan bertuah.

Orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut dan borang penyertaan dengan menghubungi Suzilan Mohd Salleh di talian 019-9424033 sebelum tarikh tutup penyertaan pada Jumaat ini.

Sumber: Bernama | 10 Jun 2014

03 June 2014

Keunikan tembikar Mambong di Kuala Krai, Kelantan

Seramai 50 orang termasuk pengamal media, Persatuan Seni Foto Kelantan dan Rakan FB Kelantan bergambar di hadapan Tangga Krai sebelum memulakan perjalanan menaiki bot ke Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan, baru-baru ini.
KUALA KRAI: Industri pembuatan tembikar di Mambong bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan peminat seramik kerana kraf tradisional ini mempunyai nilai estetika tersendiri.

Penghasilan secara tradisional menyerlahkan keunikan ‘seramik Mambong’ kerana rekaan corak pada permukaan tembikar adalah berbeza antara satu sama lain dan bergantung kepada emosi pembuatnya semasa mengukir biarpun banyak mengetengahkan motif alam semula jadi.

Selain menjadi cenderamata mahupun perhiasan, barangan yang dihasilkan daripada tanah liat seperti belanga, periuk kukusan, buyung dan geluk (bekas air) juga masih boleh digunakan dalam kehidupan seharian.

Pembuatan tembikar tradisi di Kampung Mambong dikatakan te­lah diasaskan oleh Maimunah Puteh atau lebih dikenali sebagai Tok Bara sejak kira-kira 300 tahun lalu dan diperturunkan dari generasi ke ge­nerasi.

Pengusaha pembuatan tembikar, Siti Azah Yaacob, 42, berkata, sebagai ‘orang luar’ dia mempelajari cara pembuatan kraf daripada tanah liat itu daripada suaminya, Ramli Mat Isa yang mewarisi kemahiran dimiliki Tok Bara.

Katanya, tanah liat yang diperoleh di sekitar Kampung Bahagia menjadi resipi utama dalam menghasilkan tembikar yang berkualiti dan mempunyai kelainan selain diperbuat secara tradisional dengan menggunakan tangan.

"Tembikar yang dihasilkan di sini mempunyai kelainan kerana kita menggunakan tanah liat yang diperoleh di sekitar Mambong juga. Sebelum ini, saya dan suami pernah cuba menggunakan tanah liat dari tempat lain tetapi tidak menjadi.

"Bukan sahaja bahagian permukaan nampak tidak kemas tetapi tembikar yang dihasilkan juga mudah retak dan pecah semasa proses pembakaran. Sebab itu, kita akan membeli tanah liat sekitar Kampung Bahagia dijual pada harga RM5 seguni," katanya yang mengusahakan pembuatan tembikar itu secara ke­cil-kecilan bersama suaminya untuk pasaran tempatan ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Disebabkan tembikar yang dihasilkan tidak menggunakan me­sin, kata Azah, hasil pengeluaran kraf seramik itu adalah terhad kerana proses pembuatan mengambil tempoh sekurang-kurangnya seminggu.

Biarpun mempunyai mesin, jelas ibu kepada lapan orang anak itu, dia dan suaminya memilih untuk mengekalkan cara pembuatan tradisional ketika menguli dan membentuk tanah liat bagi menghasilkan tembikar.

Tambahnya, hasil kerja tangan itu dijual pada harga RM2 sehingga RM50 setiap satu, bergantung kepada bentuk dan saiznya.

Sementara itu, seorang lagi pembuat tembikar, Halimah Said, 58, berkata, kraf seramik di kampung itu dikenali ramai kerana hasilnya yang lebih berkilau disebabkan keistimewaan kandungan galian tanah liat di kawasan tersebut.

Ketika diminta menceritakan tentang proses pembuatan tembikar secara tradisional yang dilakukan di Mambong dia memberitahu, tanah yang diperoleh dari Kampung Bahagia itu akan ditumbuk dengan menggunakan lesung kayu terlebih dahulu sebelum dibiarkan semalaman.

"Proses menumbuk mengambil masa sekurang-kurangnya lima jam. Esoknya, taburkan pasir halus atas permukaan tanah dan tumbuk sekali lagi sehingga betul-betul halus. Kemudian, baharu tanah liat tersebut diuli dan dibentuk dengan menggunakan tangan.

"Setelah separuh kering, tembikar itu kemudian akan diukir de­ngan motif semula jadi dan dibiarkan sehingga kering sebelum dibakar dalam ketuhar batu yang menggunakan kayu api," katanya.

Menurut Halimah, proses membakar penting kerana jika tidak pandai mengawal api, tembikar yang dihasilkan berkemungkinan akan pecah.

"Sekurang-kurangnya enam jam diperlukan untuk membakar tembikar. Bagi dua jam pertama, api yang digunakan perlu perlahan supaya tembikar tidak rosak atau pecah," katanya lagi yang telah membuat tembikar sejak berusia 14 tahun.

Halimah yang mengusahakan pembuatan tembikar secara sambilan itu berkata, dia mampu me­nyiapkan lima biji tembikar dalam masa sehari dan dikumpul terlebih dahulu sebelum dibakar dalam jumlah yang besar.

Dalam perkembangan lain, ibu kepada lima anak itu memberitahu, tradisi pembuatan tembikar di Mambong tidak mustahil akan le­nyap kerana generasi muda semakin kurang berminat untuk menghasilkan kraf seramik tersebut.

Menurut Halimah, biarpun ramai generasi seusia dengannya mahir membuat tembikar, namun hanya lima orang sahaja di sekitar kawasan itu yang masih aktif meneruskan perusahaan kraf tersebut.

"Dahulu, memang ramai yang mahir membuat tembikar tetapi kini sudah tak ramai. Generasi muda pula kurang berminat dan tidak mahir membentuk tanah liat dengan cara tradisional. Kalau dibiarkan, tidak mustahil tembikar tradisi Mambong akan lenyap begitu sahaja," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Jun 2014 | Terbitan 3 Jun 2014

Perusahaan seramik jadi produk pelancongan di Kuala Krai, Kelantan

Sebahagian daripada pengamal media, Persatuan Seni Foto Kelantan dan Rakan FB Kelantan menaiki bot mengharungi sungai Kelantan menuju ke Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan, baru-baru ini.
KUALA KRAI: Mambong yang terletak di seberang Sungai Galas merupakan sebuah perkampungan kecil yang menjalankan perusahaan tembikar sejak berdekad lalu.

Untuk menuju ke kampung yang dinamakan sempena penemuan sebiji nangka yang tidak mempunyai isi itu, mengambil masa selama 45 minit dari Tangga Bradley yang kini dikenali sebagai Tangga Krai dengan menaiki bot.

Bagi mempromosi tembikar Mambong, Pusat Penerangan Pelancongan negeri membawa kira-kira 50 orang termasuk pengamal media, Persatuan Seni Foto Kelantan dan Rakan FB Kelantan untuk melihat proses penghasilan seramik yang terkenal di negeri ini.

Terdahulu, para peserta dibawa menaiki bot bagi menyusuri Sungai Galas menuju perkampungan tersebut sambil menikmati pemandangan semula jadi yang menyejukkan mata.

Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan negeri, Nik Mohd. Hasanuddin Nik Hussain berkata, tembikar Mambong antara ‘permata’ dalam perusahaan seramik yang perlu diberi perhatian kerana mampu mampu menjadi daya tarikan pelancong di daerah ini.

"Perusahaan seramik antara pro­duk pelancongan Kelantan yang perlu diketengah bagi menarik lebih ramai pelancong terutama peminat seramik untuk berkunjung ke sini.

"Tembikar Mambong mempu­nyai keunikan dan kelainan terutama dari segi bahan asas pembuatan tembikar selain cara pembuatannya secara tradisional," katanya kepada pemberita yang mengikuti Kembara Media dan Kumpulan Fotografi ke Kelantan Selatan 2014, di sini baru-baru ini.

Kehadiran para peserta rombo­ngan disambut Ketua Whip Majlis Daerah Kuala Krai, Zulkifli Yaakob dan Penyelia Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Dabong, Ku Mohd. Zaki Ku Hussin ketika tiba di Tangga Krai.

Tambah Nik Mohd. Hasanuddin, selain melihat proses penghasilan seramik kunjungan ke Mambong pasti berbaloi kerana para pengunjung berpeluang menikmati keindahan semula jadi di sekitar Sungai Galas.

Selain pembuatan seramik, beliau memberitahu, di Kelantan Selatan seperti Kuala Krai, Dabong, Gua Musang dan Tanah Tinggi Lojing mempunyai pelbagai produk pelancongan berasaskan keindahan flora dan fauna yang boleh diketengahkan.

"Misalnya, para pelancong boleh menerokai gua batu kapur semula jadi di Dabong selain melihat keindahan bunga Rafflesia berhampiran kampung Orang Asli di Gua Musang," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Jun 2014 | Terbitan 3 Jun 2014

Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2014 meriah, tarik lebih 300 penyertaan

Sebahagian pengunjung dan peserta yang hadir pada Pesta Wau Antarabangsa Kelantan di Pantai Geting, Tumpat, baru-baru ini. 
TUMPAT: Kejayaan penganjuran Pesta Wau Antarabangsa Kelantan kali-32 yang berjaya menarik lebih 300 penyertaan dari dalam dan luar negara menunjukkan permainan tradisional ini masih diminati segenap lapisan masyarakat.

Pengerusi Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman berkata, perkembangan itu sekali gus menunjukkan usaha untuk memperkenal dan mempertahan seni budaya tempatan membuahkan hasil apabila lebih ramai generasi muda turut serta dalam pesta tersebut.

"Dalam penganjuran kali ini, kita dapat melihat peserta dari dalam dan luar melakukan pelbagai inovasi dalam teknik pembuatan wau atau layang-layang.

"Biarpun begitu, kita berharap dapat mengetengahkan dan memperkenalkan wau tradisional Kelantan jenis bulan dan puyuh dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Penutup Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2014 di Pantai Geting, di sini semalam. Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Sebanyak 18 buah negara luar yang turut serta dalam pesta terbabit ialah Australia, Brunei, Belgium, China, Indonesia, Itali, India, Jerman, Kemboja, Korea, Macau, Nepal, New Zealand, Filipina, Sweden, Amerika Syarikat, Thailand dan United Kingdom (UK).

Pesta yang berlangsung selama empat hari itu mempertandingkan 22 kategori termasuk acara menaikkan dan membuat beberapa jenis wau seperti wau bulan dan wau puyuh peringkat kebangsaan serta pertandingan layang-layang cabaran 'rokakku' dan 'train' antarabangsa.

Md. Anizam memberitahu, dianggarkan lebih 100,000 orang pengunjung telah hadir sepanjang festival tersebut berlangsung selama empat hari sejak Rabu lalu.

Dalam pada itu, Md. Anizam mengesyorkan setiap daerah di negeri ini menganjurkan festival wau di tempat masing-masing untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam permainan tradisional itu.

"Bagi memastikan golongan muda di negeri ini dapat mewarisi permainan wau, lebih banyak festival seperti ini perlu dianjurkan di setiap daerah di negeri ini.

"Dengan itu, bakat-bakat baharu akan dapat dicungkil selain memberi lebih banyak peluang serta pendedahan kepada orang ramai tentang permainan tradisional ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelayang Kelantan, Nik Arif Nik Hassan berkata, saingan yang diterima pada festival kali ini amat sengit namun beliau bersyukur dan gembira atas kejayaan berkenaan.

"Kemenangan tahun ini amat manis kerana sekali lagi dapat mempertahankan kejuaraan keseluruhan buat kali keempat berturut-turut sejak 2011," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 1 Jun 2014 | Terbitan 2 Jun 2014